Pada 21 September 2013 bersamaan
dengan hari Sabtu, Klinik Pergigian Sandakan telah menganjurkan Kempen Promosi
Kesihatan Pergigian yang bertemakan ‘Gigi KesayanganKu’. Kumpulan sasaran adalah terdiri daripada murid-murid
tabika/ Pra sekolah dan Sekolah rendah.
Objektif utama kempen ini adalah
untuk menanamkan tabiat menggosok gigi sebagai satu amalan rutin penjagaan
kesihatan mulut di kalangan kanak-kanak dan mewujudkan kesedaran kepada
masyarakat khususnya ibubapa serta guru sekolah mengenai kepentingan menghargai
kesihatan diri sebagai aset yang paling berharga.
Kempen ini telah diadakan di Dewan
Tadika Chi Hwa dari jam 7.30 pagi hingga 1.00 petang dan dirasmikan oleh YB
Datuk Au Kam Wah, DUN Elopura. Sebanyak
15 buah sekolah rendah dan 30 buah tabika/ pra sekolah terlibat dalam kempen
tersebut. Dianggarkan seramai 238 orang
murid telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan
pada hari itu.
Antara aktiviti yang dijalankan
adalah pameran pergigian, pertandingan mewarna, pertandingan lakonan dan persembahan
koir daripada anggota pergigian serta murid-murid dari Klinik Pergigian Sekolah. Permainan roda-roda kuiz turut diadakan bagi
menarik perhatian semua murid.
Pihak Pergigian turut menjemput Unit
Promosi Kesihatan daripada Pejabat Kesihatan untuk mengadakan pameran
kesihatan. Seramai 2 orang anggota
kesihatan telah menyertai kempen ini.
Aktiviti menggosok gigi beramai-ramai
bagi semua murid turut diadakan. Semua
bekalan berus gigi dan ubat gigi telah ditaja oleh Pihak Southern Lion Sdn
Bhd. Kehadiran maskot Lion dan maskot Gigi
ternyata berjaya menarik minat murid-murid dan memeriahkan lagi suasana pada
hari itu.
Kempen Pergigian sedemikian haruslah
diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menyedarkan masyarakat
terutamanya kanak-kanak tentang penjagaan kesihatan pergigian. Penglibatan dari pihak kesihatan perlu
dikekalkan supaya mesej penjagaan kesihatan secara menyeluruh boleh diperolehi
dengan menghadiri kempen ini.